FUNGSIONALISASI TASAWUF
FUNGSIONALISASI tasawuf
SUTEJO IBNU PAKAR
Spiritualisme baik dalam bentuk tasawuf, ihsan maupun akhlaq menjadi
kebutuhan sepanjang hidup manusia dalam semua tahap perkembangan masyarakat.
Untuk masyarakat yang masih terbelakang, spiritualisme harus berfungsi sebagai
pendorong untuk meningkatkan etos kerja dan bukan pelarian dari
ketidakberdayaan masyarakat untuk mengatasi tantangan hidupnya. Sedangkan
bagi masyarakat maju-industrial, spiritualisme berfungsi sebagai tali
penghubung dengan Tuhan.
Namun demikian, perlu diingat bahwa tasawuf tidak bisa dipisahkan dari
kerangka pengamalan agama. Karena itu harus selalu berorientasi kepada
al-Qur'an dan Sunnah. Inilah yang mungkin disebut sebagai 'tasawuf modern', yakni tasawuf yang
membawa kemajuan, bersemangat tauhid yang jauh dari kemusyrikan, bid'ah dan
khurafat. Karena itu, gambaran seorang sufi yang sejati ialah nabi kita
Muhammad saw. Seperti telah disebut di muka, spiritualisme pada generasi pertama
Islam dikembangkan bukan untuk spiritualisme per se, tetapi berfungsi untuk
mendorong gerak sejarah ke depan
dan pada saat yang sama membuat hidup
menjadi seimbang. Namun demikian, dalam kehidupan riil mungkin saja terjadi
bahwa salah satu aspek ajaran Islam
ditekankan sesuai dengan kebutuhan masyarakat pada jamannya.
Bagi masyarakat terbelakang, Islam harus digambarkan sebagai ajaran yang
mendorong kemajuan. Bagi masyarakat maju-industrial, Islam harus
ditekankan sebagai ajaran spiritual dan moral. Strategi ini sebenarnya
ditujukan untuk menyeimbangkan ayunan pendulum. Ketika pendulum itu
bergerak ke ujung kiri, kita harus menariknya ke kanan. Demikian juga,
ketika ia bergerak ke ujung kanan, kita harus segera menariknya ke kiri. Dengan
cara ini, maka akan terbangun kehidupan yang seimbang antara lahir dan batin,
duniawi dan ukhrawi, serta individu dan masyarakat. Keseimbangan ini harus
menjadi ruh bagi peradaban di masa depan.
Tasawuf selalu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Memang benar
tasawuf itu bersifat peribadi kalau ia dilihat dari segi intipati atau hakikat
tasawuf itu. Namun tasawuf itu mempunyai kaitan rapat dengan perkara-perkara
lain yang tidak dapat dipisahkan dan mempunyai natijah serta kesan yang
tertentu hasil dari pencapaiannya. Secara umumnya, pencapaian tasawuf itu akan
mewujudkan, memperteguhkan dan mengharmonikan dua bentuk hubungan iaitu
hubungan dengan Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam ini dan hubungan
dengan manusia sebagai penghuni dan pemakmur dunia ini.
Hakikat ini dapat diperhatikan kenyataannya dalam satu riwayat di mana Nabi
s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai orang yang paling afdal dan
tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Nabi s.a.w. menjawab “iaitu
orang-orang yang banyak zikirnya terhadap Allah”. Ternyata bahawa zikir yang
merupakan kekunci penting dalam usaha mencapai tasawuf itu menjadi ciri utama
bagi orang yang dikira sebagai paling utama dan tinggi darjatnya di sisi Allah
pada hari kiamat. Dengan tercapainya tasawuf itu akan membuahkan berbagai ahwal,
maqamat dan amalan yang dengannya seseorang itu mendapat kemuliaan dan
mencapai ketinggian darjat di dunia dan juga di sisi Allah. Antara kesan-kesan
tasawuf itu ialah:
1-Memperteguhkan
keimanan dan membina jatidiri muslim.
Tasawuf berfungsi memperteguhkan keimanan dan keyakinan serta menetapkan
pendirian seseorang muslim. Apabila batin manusia bersih dari kekotoran
sifat-sifat yang tercela dan dari kecintaan terhadap sesuatu yang lain dari
Allah, akan terpancarlah (tajalli) cahaya kebenaran ilahi di dalam hati.
Kesannya manusia dapat menyaksikan hakikat kebenaran Allah dan kepalsuan
sesuatu yang lain dari-Nya dengan terang dan nyata. Inilah nur yang
disebut dalam firman Allah yang bermaksud “maka sesiapa yang dilapangkan Allah
dadanya untuk Islam, maka dia itulah orang yang berada di atas cahaya (nur)
dari Tuhannya”. Mengenai nur ini Nabi s.a.w. menjelaskan “bahawa nur itu,
apabila memasuki hati, ia akan menjadi luas dan lapang (terbuka hijab)”. Iaitu
hati yang terhijab dengan pelbagai hijab rohani sehingga ia terhalang dari
menyaksikan kebenaran Allah, apabila ia disinari dengan nur ilahi, akan
tersingkaplah hijab-hijab tersebut lalu ia dapat menyaksikan kebenaran ilahi.
Nur tersebut membawa kepada peningkatan darjat keimanan dan keyakinan hati
serta memperteguhkan pendirian. Dalam keadaan ini, hati manusia tidak lagi
dipengaruhi oleh sebab musabab, tidak merasa bimbang dan takut terhadapnya
serta tidak lagi meletakkan pergantungan hati terhadapnya. Dia tidak merasa gelisah
terhadap sumber-sumber rezeki, persoalan hidup atau mati, susah atau senang,
kaya atau miskin, untung atau rugi, dapat atau tidak, menang atau kalah dan
sebagainya lagi. Ini kerana hatinya telah menyaksikan dengan terang dan nyata
kebenaran kewujudan Allah dan adanya ketentuan (qada’ dan qadar)
dari-Nya terhadap semua makhluk-Nya. Dia berkeyakinan penuh bahawa tidak akan
terjadi sesuatu itu kecuali dengan kekuasaan, kehendak, ketentuan dan keizinan
dari-Nya. Inilah kewalian yang sebenar-benarnya seperti yang digambarkan dalam
firman Allah yang bermaksud “ketahuilah bahawa wali-wali Allah itu tidak ada
ketakutan ke atas mereka dan mereka itu tidak berduka cita”.
Inilah tingkatan iman yang utama iaitu iman yang didasari penyaksian batin
terhadap kebenaran ketuhanan Allah. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda
yang bermaksud “iman yang paling afdal ialah bahawa engkau mengetahui (dengan
yakin) bahawa Allah menyaksikan dirimu di mana saja engkau berada”. Di sinilah
letaknya jati diri seseorang mukmin. Allah memperteguhkan orang mukmin itu
dengan keyakinan ini. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa “Allah memperteguhkan
orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang teguh”. Menurut ahli tafsir,
kata-kata yang teguh itu ialah kalimat tauhid (La ilaha illallah), iaitu
kalimat iman dan taqwa.
2-Menimbulkan
kesedaran jiwa
Intisari tasawuf itu ialah benarnya tawajjuh hati ke hadrat ilahi.
Permulaan tawajjuh hati itu ialah timbulnya kesedaran jiwa (intibah).
Seseorang yang mengalami intibah itu akan menyedari kelemahan,
kekurangan dan kesilapan dirinya. Kesedaran inilah yang akan membawa kepada
taubat dan usaha memperbaiki dan menyempurnakan diri. Kesedaran ini jugalah
yang membangkitkan usaha gigih dalam meningkatkan dan memartabatkan diri.
Isyarat ini dapat dilihat dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang
bermaksud “dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau
menzalimi diri mereka sendiri lalu mereka mengingati Allah, lantas mereka
beristighfar terhadap dosa-dosa mereka, dan tiadalah yang mengampunkan
dosa-dosa itu melainkan Allah, dan mereka itu tidak berlarutan dalam melakukan
apa yang telah mereka lakukan sedangkan mereka mengetahuinya”.
3-Membina
keperibadian dan akhlak mulia.
Tasawuf itu dari satu sudut ialah pencapaian akhlak mulia. Akhlak tidak
dapat dipisahkan dari tasawuf di mana akhlak itu adalah merupakan buah atau
hasil dari tasawuf. Pencapaian tasawuf membawa kepada pembentukan akhlak mulia.
Mengenai akhlak ini, Abu Bakr al-Kattani menjelaskan bahawa “tasawuf itu ialah
akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu, maka sesungguhnya dia telah
menambahkan kesufianmu”. Hakikat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang
bermaksud “orang-orang mukmin yang paling sempurna iman ialah mereka yang
paling baik akhlak”
Apabila seseorang itu mula merasai hakikat tasawuf dengan sendirinya dia
akan berakhlak mulia, kerana pencapaian hakikat tasawuf itu membawa kepada
kelembutan hati. Kelembutan hati itulah yang melahirkan berbagai akhlak mulia.
Oleh itu semakin tinggi tahap kesufian seseorang itu maka semakin mulia
akhlaknya. Nabi s.a.w yang merupakan imam ahli tasawuf adalah diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud
“sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
4-Membentuk
insan yang bertanggungjawab
Tasawuf itu dari satu dimensi ialah merasai hakikat iman dan mencapai
martabat ihsan. Sekurang-kurang martabat ihsan itu ialah seseorang itu merasai
dan menyedari bahawa dirinya sentiasa dalam tilikan dan pandangan Allah.
Kesedaran inilah yang akan menjadikan seseorang itu merasa bertanggungjawab.
Orang yang mengalami kesedaran ini akan merasai bahawa dirinya akan
dipersoalkan di hadapan Allah mengenai tanggungjawabnya terhadap dirinya,
keluarganya dan juga masyarakatnya. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda
yang bermaksud “perumpamaan orang-orang yang beriman dalam perkara kasih
sayang, rahmat merahmati, dan belas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu
tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota yang lain
akan merasainya dengan tidak dapat tidur malam dan demam”.
Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa “iman itu ada lebih
dari enam puluh tiga cabang, yang paling tinggi ialah ucapan La ilaha
illallah, yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di
jalanan, dan sifat malu merupakan salah satu cabang iman”. Kemantapan dan
kemurnian iman hasil dari pencapaian tasawuf akan menimbulkan rasa prihatin dan
tanggungjawab terhadap orang lain. Timbulnya dorongan untuk tidak menyakitkan
orang lain dan membuang sesuatu yang boleh menyakitkan mereka seperti yang
disebut dalam hadis adalah merupakan hasil dari kemurnian jiwa atau tercapainya
tasawuf.
5-Mewujudkan
persaudaraan, perpaduan, dan sifat rahmat sesama manusia
Tasawuf
itu dari satu sudut merupakan peningkatan tahap keimanan dan kesempurnaannya.
Apabila tasawuf itu dicapai dan dirasai hakikatnya ia akan menimbulkan suatu
keadaan kejiwaan di mana seseorang itu merasa kasih dan bertanggungjawab
terhadap semua manusia dan juga makhluk-makhluk lain. Mengenai perkara ini Nabi
s.a.w. bersabda yang bermaksud “tidak beriman seseorang kamu itu sehinggalah
dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dikasihinya untuk dirinya sendiri”.
Demikian juga Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “orang mukmin terhadap orang
mukmin yang lain adalah seumpama binaan di mana sebahagiannya memperteguhkan
sebahagian yang lain”.